Wednesday, 12 February 2014

Kepuasan Berumrah Bersama Suami dan Anak-anak - Madinah

Dah lebih 2 minggu rupanya kami meninggalkan tanah suci Mekah dan Madinah dan kembali ke tanah air. Tak terasa sungguh masa berlalu. Patutlah kerinduan untuk berada di sana kerap berkunjung di dalam hati ini, terutamanya bila melihat gambar-gambar sahabat yang baru sampai ke sana.

Subhanallah, rasa rindu sangat pada Rasulullah. Berada di bumi Madinah selama hanya 3 hari 2 malam adalah satu jangka masa yang sangat pendek. Masih boleh tercium bau harumnya makam nabi ketika kami lalu ditepi masjid Nabawi yang menempatkan jenazah baginda ketika ingin berkunjung ke kawasan perkuburan Baqi'. Keharumannya memang sangat mengasyikkan dan menyenangkan. Itulah kali pertama dan terakhir saya berkesempatan lalu di tepi kawasan yang menempatkan makam Rasulullah dan sahabat baginda yang tercinta iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan juga Umar Al-Khattab. Peluang itu adalah sangat berbeza dengan kesempatan yang diperolehi untuk masuk ke Raudhah, yang terdapat di dalam Masjid Nabawi itu sendiri.

Secara jujurnya, perasaan berada di bumi Mekah dan Madinah adalah sangat berbeza, pada saya secara personalnya. Sebaik mutawif mengumumkan bahawa bas kami telah memasuki tanah Madinah, air mata ini berguguran tanpa dapat di tahan kerana rasa terharunya dan bersyukur kerana akhirya saya berpeluang menjejak kaki di bumi Madinah yang menjadi tanah tempatnya bersemadi jasad Nabi Muhammad S.A.W. Terasa betapa rindunya kepada baginda sehingga air mata tidak dapt ditahan dan rasa yang sangat tidak sabar untuk berkunjung ke masjid baginda, walaupun hanya sekadar untuk bersolat dan bukanlah untuk bertemu baginda.

Sebaik sahaja bas berhenti dihadapan hotel, yang jaraknya hanya dalam 50m sahaja dari pintu masuk masjid Nabawi, hati ini meronta-ronta untuk segera pergi dan masuk ke dalam masjid. Malah mungkin rezeki kami telah ditentukan oleh-Nya, kami mendapat bilik yang menghadap betul-betul ke Masjid Nabawi, malah dari tingkap bilik kami boleh nampak kubah hijau yang menjadi penanda bahawa di situlah tersemadinya jasad baginda. Subhanallah, betapa bersyukurnya perasaan ketika itu dengan rezeki yang telah ditetapkan untuk kami.
masjid nabawi dan kubah hijau
Selesai urusan check in, kami bergegas bersiap untuk menunaikan solat zuhur yang pertama di Masjid Nabawi. En asben turun lebih awal bersama blong memandangkan beliau lebih afdal untuk solat berjemaah di dalam masjid, manakala saya menyiapkan adik acad, membersihkan dia sebelum bergerak ke masjid. Memandangkan ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke masjid ini, maka saya tidak tahu ke manakah arah tuju dan tempat solat untuk wanita kerana masjid ini sangat besar. Jadi saya hanya sekadar mengikut arus sahaja. Malangnya nasib saya kerana ketika kami bergerak ke masjid, azan zuhur telah berkumandang dan apabila kami sampai, pentugas-petugas sudah tidak membenarkan kami dan jemaah lain untuk masuk ke dalam masjid kerana sudah penuh.

Maka saya mencari ruang lain untuk bersolat. Walaupun tidak dapat masuk ke dalam masjid, tetapi sebenarnya, di kawasan luar juga merupakan tempat menunaikan solat para jemaah. Ruang yang sangat luas dan selesa disediakan untuk para jemaah menunaikan solat, cuma bezanya tiada carpet dihamparkan. Nasib baik saya memang telah bersediakan dan turut membawa sejadah. Lalu saya pun mencari ruang untuk saya dan adik acad bersolat.
solat di masjid nabawi
ceria di Masjid Nabawi walaupun setelah menempuh perjalanan lebih dari 12 jam
Sepanjang kami berada di Madinah, saya dan en asben telah bersetuju untuk membawa anak seorang satu, yang mana en asben akan membawa blong manakala saya pula akan membawa adik acad. Persetujuan ini berlangsung juga semasa kami berada di Mekah dan alhamdulillah sepanjang kami berada di sana, kedua-dua anak kami telah dipelihara oleh-Nya dan mereka tidak meragam atau pun mendatangkan sebarang masalah kepada kami. Malah saya yang sebelum bertolak ke sana telah diserang morning sickness yang teruk juga langsung tidak mengalami sebarang masalah sepanjang di sana. Inilah doa yang telah saya pohon sebelum kesana, iaitu meminta dari-Nya supaya segala urusan dipermudahkan, dan alhamdulillah doa saya telah dimakbulkan oleh-Nya.

3 hari di Madinah, selain beriktikaf di Masjid Nabawi dan mengikuti ziarah ke tempat bersejarah di sana, kami tidak sempat untuk membeli-belah di sana. Hanya pada pagi sebelum bertolak ke Mekah sahaja kami sempat pergi membeli sehelai jubah untuk adik acad dan juga jubah yang telah dipesan oleh kawan saya. Tiada masa yang lebih bermanfaat selain berada di dalam masjid dan membaca AlQuran sepanjang berada di bumi Madinah.

Peluang untuk berkunjung ke Raudhah adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Untuk jemaah wanita, ada masa-masa yang telah ditetapkan untuk masuk ke Raudhah, malah terdapat 2 sahaja pintu masjid yang dibenarkan untuk digunakan bagi tujuan tersebut. Waktu yang dibenarkan untuk masuk adalah selepas isya, selepas subuh dan selepas zuhur sahaja. Maka, pada malam pertama kami di sana, mutawif wanita yang ditugaskan telah membawa rombongan kami untuk masuk ke kawasan Raudhah. Jam 9pm kami bergerak dari masjid, namun disebabkan ramainya jemaah wanita ketika itu yang juga hendak masuk ke kawasan Raudhah, menyebabkan kami terpaksa menunggu giliran hampir 2jam setengah. 

Ini kerana kawasan tersebut sangat kecil berbanding jumlah orang yang ingin masuk ke situ. Mujur pada malam tersebut, saya tidak membawa adik acad bersama kerana keadaan di situ adalah sangat hectic. Mungkin kerana waktu sudah hampir larut malam, dan ramai yang sudah tidak sabar dan kepenatan kerana terlalu lama menunggu membuatkan keadaan agak kucar-kacir. Saya sendiri terpaksa merempuh orang untuk meloloskan diri masuk ke kawasan  Raudhah yang merupakan salah satu tempat yang mustajab untuk berdoa. Malah di situ jugalah terdapatnya makam  baginda Rasulullah, serta tempat-tempat yang bersejarah memandangkan itu adalah rumah baginda dan Siti Aishah. 

Pada mulanya saya ingat saya sudah tidak berpeluang untuk menunaikan solat di dalam kawasan itu kerana keadaan yang sangat kucar-kacir. Malah apabila melihat ada jemaah yang telah dilanggar dan dipijak ketika solat membuatkan hati ini takut, tambahan pula saya sedang mengandung. Namun rezeki Allah masih berpihak kepada saya. Mujur ada ahli rombongan yang bekerjasama membantu kami untuk bersolat secara bergilir-gilir dengan membantu menjaga kami yang sedang bersolat. Solat sunat 1 rakaat, doa yang khusus dan memberi salam kepada baginda dan sahabat-sahabat baginda walaupun sekadar dari jauh adalah pengalaman yang sangat bermakna. Air mata langsung tidak berhenti mengalir, terutama apabila melihat pintu makam baginda. Walaupun hati ini meronta untuk pergi dekat dengan makam baginda, dan memegang tiang-tiang yang dikatakan mempunyai sejarah tersendiri, namun hajat itu terpaksa dilupakan. Mungkin itu bukan rezeki saya untuk kali ini. Namun, masih bersyukur kerana hajat untuk masuk ke Raudhah telah dimakbulkan oleh-Nya. Akan tetapi, sempat saya titipkan doa agak kunjung saya di lain kali akan diberikan peluang untuk pergi hampir ke pintu makam baginda.
kubah hijau, makam nabi
Menziarahi tempat-tempat bersejarah yang lain, serta menunaikan peluang menunaikan solat di masjid Quba' adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan juga. Terasa betapa bersyukurnya kerana diberi peluang ini, pada usia yang masih muda, malah berpeluang membawa anak-anak bersama, adalah rezeki yang sangat berharga. Tiada apa lagi yang dapat diucapkan selain rasa bersyukur ke hadrat Illahi.
kenangan di Masjid Quba'
seronok dan ceria sepanjang trip ziarah di Madinah
Posing jap di Ladang Kurma bersama kawan baru
Bergambar di kawasan perkuburan Bapa saudara Nabi, Hamzah
Jabal Rahmah yang mencatat sejarah bg Nabi Adam dan Hawa, begitu juga kami
Semoga pemergian kami ke sana kali ini bukanlah yang terakhir dan akan dijemput lagi untuk ke sana setiap tahun. Amin.... ^__^

shaklee membership

No comments:

Post a Comment